fb fb fb fb fb

9,000 pesakit di Gaza perlu dipindahkan segera ke luar negara

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus/AFP

GENEVA, 31 Mac- Kira-kira 9,000 pesakit di Gaza perlu dipindahkan segera ke luar negara untuk rawatan kecemasan.

Kebimbangan itu disuarakan Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau berkata hanya 10 hospital yang masih berfungsi secara minimum di wilayah itu, berbanding sebelum perang, 36 hospital.

"Sekitar 9,000 pesakit perlu dipindahkan segera ke luar negara untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang boleh menyelamatkan nyawa.

"Ia termasuk rawatan kanser, kecederaan akibat tembakan, dialisis buah pinggang dan penyakit kronik lain", kata Tedros menerusi platform X.

"Jumlah tersebut meningkat daripada 8,000 pesakit, mengikut penilaian WHO pada awal Mac.

Katanya, lebih 3,400 pesakit telah dirujuk ke luar negara melalui Rafah termasuk 2,198 cedera dan 1,215 sakit, namun ramai lagi yang perlu dipindahkan.

Tedros menggesa Israel untuk mempercepat kelulusan pemindahan, supaya pesakit kritikal boleh dirawat.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas selepas serangan 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan telah menyerang Gaza tanpa henti sehingga merosakkan banyak kemudahan penjagaan kesihatan.

Sekatan terhadap Gaza adalah hampir menyeluruh. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Bangsa Bersatu mendakwa Israel menghalang penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperlukan oleh 2.4 juta penduduk yang kebanyakannya berkumpul di Rafah di hujung selatan wilayah itu.

Israel mempertahankan dasar-dasarnya kerana mengejar matlamat untuk menghapuskan Hamas dengan mengatakan PBB harus menghantar lebih banyak bantuan ke Gaza serta menolak laporan oleh PBB dan NGO bahawa pemeriksaan Israel yang menyusahkan menghalang bantuan makanan dan keperluan lain.

Sementara itu, kempen balas dendam Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 32,705 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza.-AFP

ROSLINA BINTI DIN