fb fb fb fb fb

85 orang terbunuh ketika agihan bantuan di Yaman

(Tangkap layar TV Al-Masirah tragedi rempuhan yang dilaporkan
berlaku pada 19 April 2023/AFP)

SANAA, 20 April- Lebih 80 orang penduduk Yaman terbunuh dan ratusan lain cedera, ketika proses pengagihan bantuan bekalan di bandar yang masih dilanda konflik akibat perang saudara, Sanaa.

Sumber rasmi pemberontak Houthi menyatkan rempuhan tercetus ketika penduduk bergegas untuk mendapatkan bantuan, menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sekurang-kurangnya “85 orang terbunuh dan lebih 322 yang lain cedera” selepas rempuhan yang berlaku di daerah Bab al-Yemen di ibu negara, menurut seorang pegawai keselamatan Houthi.

“Kanak-kanak dan wanita antara yang terbunuh,” katanya kepada wartawan AFP yang mensyaratkan namanya tidak didedahkan kerana tidak diberi kuasa untuk mengeluarkan kenyataan kepada media.

Jumlah kematian itu turut disahkan pegawai kesihatan.

Koresponden AFP di Sanaa yang dikuasai Houthi memaklumkan, kejadian berlaku di sebuah sekolah, lokasi bantuan diagihkan.

Menurut saksi ketika kejadian ratusan penduduk berkumpul untuk mendapatkan bantuan tersebut.

Mangsa yang mati dan cedera telah dibawa ke hospital berhampiran manakala mereka yang bertanggungjawab telah ditahan untuk siasatan, menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri yang disiarkan agensi berita pemberontak, Saba.

Pihak kementerian tidak menyatakan jumlah sebenar mangsa, namun menyebut “puluhan penduduk terbunuh disebabkan rempuhan ketika pengagihan secara rawak sejumlah wang oleh ahli perniagaan.”


(Tangkap layar TV Al-Masirah tragedi rempuhan yang dilaporkan
berlaku pada 19 April 2023/AFP)

Ketua politik pemberontak Houthi, Mahdi al-Mashat berkata, satu jawatankuasa telah dibentuk untuk menyiasat punca kejadian.  

Pegawai keselamatan Houthi pula berkata, tiga individu telah ditahan kerana disyaki terlibat.

Sementara itu di media sosial, video kejadian menunjukkan mayat bergelimpangan di kawasan kompleks besar yang dikerumuni orang ramai. Bagaimanapun AFP tidak dapat mengesahkan kesahihan video tersebut.

Perang saudara tercetus di Yaman pada 2014, apabila pemberontak Houthi disokong Iran merampas Sanaa, mendorong campur tangan pakatan diketuai Arab Saudi pada tahun berikutnya bagi menyokong kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Susulan itu, pertempuran terus tercetus sehingga disifatkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebagai salah satu tragedi kemanusian terburuk di dunia.

Terkini lebih dua pertiga jumlah penduduk masih hidup dalam kemiskinan dan tahun ini lebih 21.7 juta penduduk; dua pertiga daripada keseluruhan penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan. –AFP

Media Baharu