fb fb fb fb fb

80 terbunuh dalam serangan Zionis ke atas kem pelarian

Penduduk Palestin membawa mangsa yang cedera di bawah runtuhan bangunan berikutan pengeboman Israel di Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza, semalam/ AFP

GAZA, 19 November- Lebih 80 orang terbunuh dalam serangan di kem pelarian, utara Gaza semalam termasuk sebuah sekolah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang digunakan sebagai tempat perlindungan kepada mereka yang kehilangan tempat tinggal akibat perang Israel-Palestin.

Video media sosial yang disahkan oleh AFP menunjukkan mayat berlumuran darah dan habuk di lantai sebuah bangunan di Jabalia, kem pelarian terbesar di wilayah Palestin.

Israel berikrar memusnahkan Hamas sebagai tindak balas kepada serangan 7 Oktober lalu yang menurut pegawai Israel membunuh kira-kira 1,200 orang.

Serangan udara dan darat Israel tanpa sejak itu telah membunuh 12,300 orang, lebih 5,000 daripadanya kanak-kanak, menurut kerajaan Hamas yang telah memerintah Gaza sejak 2007.

"Sekurang-kurangnya 50 orang terbunuh dalam serangan Subuh ke atas sekolah Al-Fakhura yang dikendalikan PBB di kem itu, yang telah ditukar menjadi tempat perlindungan bagi penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal," kata seorang pegawai kementerian kesihatan di Gaza yang dikawal Hamas kepada AFP.

Menurut angka PBB, kira-kira 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam Semenanjung Gaza akibat pertempuran selama enam minggu.

Ketua Kemanusiaan PBB, Martin Griffiths mengecam insiden serangan yang menyaksikan ramai terbunuh termasuk kanak-kanak dan wanita.

"Tempat perlindungan adalah tempat untuk keselamatan," tulisnya di X. "Orang awam tidak boleh dan tidak sepatutnya menanggung ini lagi."

Mesir menggelar pengeboman sekolah yang dikendalikan PBB sebagai "jenayah perang" dan "penghinaan yang disengajakan kepada PBB."

Serangan berasingan pada Sabtu ke atas bangunan lain di kem Jabalia meragut 32 nyawa daripada keluarga yang sama, 19 daripadanya kanak-kanak, menurut pegawai Hamas itu.

Tanpa menyebut serangan itu, tentera Israel berkata "kejadian di wilayah Jabalia" sedang diteliti.

Israel mengarahkan rakyat Palestin berpindah dari utara Gaza untuk keselamatan mereka, tetapi serangan udara maut terus melanda kawasan tengah dan selatan wilayah pantai terkepung itu.

Semalam, ratusan orang melarikan diri dengan berjalan kaki selepas pengarah hospital utama Gaza berkata tentera Israel mengarahkan pemindahan kemudahan yang mana kira-kira 2,000 orang terperangkap.

Sekumpulan orang yang sakit dan cedera, sebahagian daripada mereka yang diamputasi dilihat keluar dari Hospital Al-Shifa menuju ke pinggir laut tanpa ambulans bersama-sama orang yang kehilangan tempat tinggal, doktor dan jururawat, ketika letupan kuat kedengaran di sekitar kompleks itu.

Dalam perjalanan, seorang wartawan AFP melihat sekurang-kurangnya 15 mayat di sepanjang jalan yang dibarisi kedai rosak teruk dan kenderaan terbalik.

Kementerian kesihatan berkata 120 yang cedera, bersama dengan jumlah bayi pramatang yang tidak ditentukan, masih berada di Hospital Al-Shifa.

Israel telah mendesak operasi ketenteraan di dalam hospital, mencari pusat operasi Hamas yang dikatakan terletak di bawah kompleks yang luas itu dan tuduhan itu dinafikan Hamas. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI