fb fb fb fb fb

80 maut dalam bencana banjir di Iran

(Anggota pasukan penyelamat bekerja di lokasi banjir kilat di bahagian barat laut Emamzadeh
Davoud Tehran, pada 28 Julai 2022/Bulan Sabit Merah Iran)

TEHRAN, 31 Julai- Sekurang-kurangnya 80 orang terbunuh dan 30 yang lain hilang dalam banjir yang melanda seluruh Iran selama lebih seminggu, lapor media kerajaan Sabtu.

Sejak permulaan bulan Mordad di Iran pada 23 Julai, "59 orang mati dan 30 masih hilang dalam insiden yang disebabkan oleh banjir baru-baru ini," Setiausaha Agung Persatuan Bulan Sabit Merah, Yaghoub Soleimani dipetik sebagai berkata oleh agensi berita IRNA.

Itu adalah tambahan kepada banjir kilat yang disebabkan hujan lebat di wilayah Fars di selatan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh sejurus sebelum permulaan Mordad.

Menurut Soleimani, sebanyak 60 bandar, 140 pekan dan lebih 500 kampung di seluruh negara telah terjejas bersama kira-kira 83 juta penduduk.

Ramai daripada penduduk yang terjejas terpaksa menghabiskan masa di tepi sungai sepanjang hari.

Tehran adalah wilayah paling teruk terjeas dengan 35 kematian.

Wilayah Mazandaran pula mempunyai jumlah tertinggi orang hilang iaitu 20 orang.

(Rumah yang dikelilingi dengan mendapan lumpur di tapak banjir kilat di kawasan
Firouzkouh di timur Tehran/AFP)

Pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, dalam surat yang diterbitkan di laman webnya menyatakan takziah kepada keluarga dan meminta pihak berkuasa agar mengambil langkah yang perlu untuk membaiki kerosakan.

Sementara itu Presiden Ebrahim Raisi melawat kawasan yang dilanda banjir di wilayah Firouzkouh di timur ibu negara.

Kerosakan teruk berlaku terutamanya disebabkan tanah runtuh di di kawasan pergunungan yang meragut 14 nyawa, menurut media kerajaan.

Video dan gambar yang disiarkan oleh media Iran dan di media sosial menunjukkan rumah dan kereta dikelilingi lumpur kelabu, dan orang ramai cuba mendapatkan semula barang-barang mereka.

Anggaran awal menunjukkan kerugian lebih 60 trilion rial (kira-kira AS$200 juta) bagi sektor pertanian, kata Menteri Pertanian Javad Sadatinejad.

Pusat Meteorologi mengeluarkan amaran lebih banyak hujan di wilayah selatan dan utara dalam beberapa hari akan datang. -AFP

Media Baharu