DAR ES SALAM, 8 Disember- Presiden Tanzania Samia Suluhu Hassan melawat tempat kejadian tanah runtuh di utara negara itu yang menyebabkan berpuluh-puluh orang terkorban.
"Bencana ini telah mengorbankan 76 nyawa di kawasan Katesh, sehingga petang ini," kata ketua negara itu, sambil menyemak semula jumlah korban awal daripada bencana minggu lalu di bandar lereng bukit Katesh, 300 kilometer di utara ibu negara Dodoma .
Hujan lebat menghanyutkan kenderaan, meruntuhkan bangunan dan memusnahkan infrastruktur di negara itu.
"Bencana itu juga merupakan satu kejadian yang menyebabkan kerajaan perlu membuat persediaan untuk mengesan tanda-tanda supaya boleh memberi amaran kepada orang awam lebih awal bagi mengelakkan kejadian seperti ini," kata presiden.
Presiden memendekkan penyertaannya dalam persidangan perubahan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-28 (COP28) di Dubai untuk menangani bencana itu.
Imej yang disiarkan di televisyen menunjukkan serpihan dari rumah, termasuk perabot, bertaburan di jalan-jalan utama selain menyebabkan talian elektrik dan rangkaian komunikasi terganggu.
Menurut jurucakap kerajaan Mobhare Matinyi kira-kira 5,600 penduduk kehilangan tempat tinggal akibat tanah runtuh itu.
Tanzania, Kenya, Somalia dan Ethiopia semuanya bergelut dengan banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat. Ia dikaitkan dengan corak perubahan cuaca seperti El Nino.
Keadaan banjir memburukkan lagi krisis kemanusiaan di rantau itu selepas dilanda kemarau terburuk dalam empat dekad. Kemarau itu menyebabkan jutaan manusia kelaparan.
Antara Oktober 1997 dan Januari 1998, banjir yang melanda menyebabkan lebih 6,000 kematian di lima negara di rantau itu.
Para saintis berkata kejadian cuaca ekstrem seperti banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan terjadi berikutan perubahan iklim yang disebabkan oleh manusia.- AFP