fb fb fb fb fb

60 wanita dakwa bekas pemilik Harrods lakukan gangguan seksual

Bekas pemilik gedung terkenal Harrods, Mohamed Al-Fayed/Foto AFP

LONDON, 27 September - Seramai 60 wanita tampil mendakwa mereka menjadi mangsa gangguan seksual oleh bekas pemilik gedung beli-belah terkenal Harrods, Mohamed Al Fayed.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang mewakili mangsa pada hari ini.

"Maklum balas yang diterima sangat luar biasa... Kami boleh mengesahkan bahawa kini kami mewakili 60 wanita yang mendakwa telah menjadi mangsa gangguan seksual dan jumlah ini mungkin akan bertambah.

"Tuntutan kami semakin bersifat global... Kami menjangkakan di mana sahaja Mohamed Al-Fayed berada, akan wujud penyalahgunaan kuasa," kata peguam dalam satu kenyataan.

Dokumentari BBC pada minggu lalu mendedahkan beberapa wanita mendakwa mereka dirogol dan menerima gangguan seksual semasa bekerja di syarikat itu.

Pasukan peguam menyatakan sejak pendedahan televisyen itu, mereka telah dihubungi oleh beberapa individu dari seluruh dunia.

Mereka juga mendakwa kini mempunyai bukti kukuh tentang penyalahgunaan di beberapa hartanah dan perniagaan lain milik Al-Fayed, termasuk Kelab Bola Sepak Fulham.

Pihak pendakwa Britain berkata mereka telah menerima bukti terhadap Fayed sebanyak dua kali.

Pada tahun 2008, Fayed dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang gadis berusia 15 tahun, dan pada 2013, beliau dituduh merogol seorang wanita.

Namun, dalam kedua-dua kes, pihak Pendakwaan Mahkota (CPS) mendapati tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa bekas pengerusi Harrods.

Al Fayed dilaporkan meninggal dunia pada usia 94 tahun akibat uzur pada 30 Ogos tahun lalu.

Jutawan kelahiran Mesir itu membina empayar perniagaan di Asia Barat sebelum berpindah ke United Kingdom (UK) pada tahun 1970-an.

Mohamed Al Fayed merupakan bapa kepada Dodi Fayed iaitu kekasih mendiang Puteri Diana yang maut dalam kemalangan ngeri di sebuah terowong di Perancis pada 31 Ogos 1997. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN