fb fb fb fb fb

60 cedera dalam nahas dua kereta api di Argentina

Pandangan dron menunjukkan pasukan penyelamat berada di tapak perlanggaran kereta api di Buenos Aires/ REUTERS

BUENOS AIRES, 11 Mei- Sebuah kereta api penumpang merempuh kereta api penyelenggaraan di Buenos Aires pada Jumaat, menyebabkan hampir 60 orang cedera termasuk dua dalam keadaan parah akibat kecederaan di kepala, kata pegawai.

Kemalangan berlaku sekitar 10.30 pagi waktu tempatan di pinggir bandar Palermo, apabila kereta api penumpang tujuh gerabak itu bertembung dengan kereta api penyelenggaraan di landasan jambatan kereta api.

"Lokomotif dan kereta penumpang pertama tergelincir," kata syarikat kereta api milik kerajaan Trenes Argentinos (TA) dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa kecemasan melaporkan 30 orang dibawa ke hospital selepas kemalangan itu, tetapi pegawai kesihatan bandar mengemas kini angka itu kepada 57 orang.

Pegawai perkhidmatan kecemasan , Alberto Crescenti berkata dua mangsa yang cedera parah di kepala dibawa ke hospital dengan helikopter.

Tambahnya, majoriti mangsa lain telah dibenarkan pulang pada petang semalam.

Menurut seorang penumpang yang terlibat dalam insiden itu, impak nahas "sangat kuat," di mana kelihatan seorang terhentak ke pintu dan ramai yang lain tercampak ke tanah."

“Ia adalah satu keajaiban kami masih hidup,” jerit penumpang lain, sambil bersandar ke luar tingkap merakam tempat kejadian, dalam imej yang disiarkan di beberapa stesen.

Menteri Pengangkutan, Franco Mogetta berkata terdapat "pelbagai hipotesis" tentang apa yang telah berlaku, termasuk sama ada sesuatu telah berlaku dengan sistem isyarat.

Beliau menyebut aduan "kecurian kabel" di tengah-tengah peningkatan mendadak dalam pencurian kabel tembaga dan yang diperbuat daripada logam lain, di negara di mana inflasi tahun ke tahun berada pada hampir 290% dan 42% penduduk hidup dalam kemiskinan.

Pemimpin kesatuan pemandu kereta api, Omar Maturano, menyelar "nyah-pembiayaan" Trenes Argentinos di bawah pemerintahan Presiden Javier Milei yang mengurangkan bajet.

“Terdapat kecurian kabel isyarat. Kami telah meminta pembaikan selama 10 hari, tetapi tiada alat ganti untuk isyarat, atau untuk kereta api. Kami diberitahu bahawa tiada bajet.”- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI