fb fb fb fb fb

6 orang maut di Tokyo, Jepun dilanda gelombang panas

Pelancong menyejukkan diri di bawah pancuran air di Tokyo ketika suhu mencecah 35 darjah Celsius semalam/ AFP

TOKYO, 9 Julai- Seramai enam orang dilaporkan maut di Tokyo akibat strok haba, ketika Jepun dilanda gelombang panas pada musim hujan yang jarang berlaku, menyebabkan pihak berkuasa berulang kali mengeluarkan amaran kesihatan.

Hujung minggu lalu, wilayah tengah Shizuoka merekodkan suhu sehingga 40 darjah Celsius, iaitu melebihi suhu 35 darjah Celcius yang diklasifikasikan oleh pegawai cuaca sebagai 'sangat panas'.

Seorang pegawai agensi cuaca berkata, cuaca panas ketika musim hujan di Jepun 'agak jarang' berlaku, disebabkan sebahagiannya oleh sistem tekanan tinggi Pasifik Selatan yang kuat.

Media tempatan turut melaporkan suhu mencecah paras tertinggi hampir 40 darjah Celsius pada hari Isnin di pos pemerhatian di Tokyo dan wilayah selatan Wakayama.

Beberapa hari lalu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran strok haba di kebanyakan negara dan menggesa penduduk mengelak daripada bersenam di luar dan menggunakan penghawa dingin.

Menurut Pejabat Pemeriksaan Perubatan, bandar Tokyo merekodkan tiga kematian yang dikaitkan dengan strok haba pada Sabtu dan tiga kematian lagi pada hari Isnin, dengan suhu mencecah sekitar 35 darjah Celsius pada tengah hari, semalam.

Semalam, Persatuan Perubatan Akut Jepun memberi amaran tentang peningkatan jumlah kematian akibat strok haba di seluruh negara yang meningkat daripada hanya beberapa ratus setahun, dua dekad lalu kepada sekitar 1,500 orang pada 2022.

Persatuan itu memberi amaran, jumlah kematian yang tinggi menunjukkan bahawa strok haba kini menimbulkan bahaya setanding dengan 'bencana alam yang besar'.

Strok haba disifatkan memberi kesan teruk di Jepun yang juga negara kedua mempunyai paling ramai penduduk tertua di dunia selepas Monaco.- AFP

ROSLINA BINTI DIN