fb fb fb fb fb

6 maut, 14 cedera, kenderaan bawa gas meletup di Ulaanbaatar

Foto AFP

ULAANBAATAR, 24 Januari- Enam orang terbunuh dan 14 cedera selepas sebuah kenderaan yang membawa 60 tan gas meletup di ibu kota Mongolia, Ulaanbaatar awal pagi tadi, waktu tempatan.

Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Mongolia (NEMA), memaklumkan, bahan api itu terbakar dan meletup kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Kenderaan yang membawa gas asli cecair (LNG) bertembung dengan sebuah kereta. Insiden itu menyebabkan api merebak di keseluruhan jalan raya.

"Menurut keputusan awal, tiga orang maut dalam kebakaran itu," kata NEMA di laman webnya, sambil menambah tiga anggota bomba turut terbunuh, manakala 14 orang telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

"Sepuluh daripada mereka dibawa untuk rawatan akibat melecur, manakala seorang kanak-kanak dirawat kerana keracunan dan tiga bayi lain sedang dijaga.

"Pasukan penyelamat telah dihantar ke lokasi kejadian dan api telah dipadamkan, tambahnya.

Menurut NEMA, penduduk blok pangsapuri berdekatan telah dipindahkan buat sementara waktu serta jalan di sekitar kawasan itu ditutup kerana pihak berkuasa giat membersihkan serpihan.

Sementara itu, Duta Besar AS ke Mongolia Richard Buangan berkata beliau sangat sedih dengan berita tersebut.

"Saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja anggota kakitangan NEMA yang kehilangan nyawa dalam kejadian ini," katanya dalam catatan di platform media sosial X.

Duta EU ke Mongolia Axelle Nicaise, memaklumkan beliau terkejut dengan insiden tragis itu.-AFP

ROSLINA BINTI DIN