ISLAMABAD, 13 Mei– Tentera Pakistan mengesahkan seramai 51 orang terbunuh dalam insiden ketegangan terbaharu bersama India, menjadikannya antara pertempuran paling buruk antara kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu.
Menurut Tentera Pakistan, daripada jumlah itu, 40 merupakan orang awam manakala 11 lagi anggota tentera, sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata hasil campur tangan Washington sebagai orang tengah.
"Pihak Tentera Pakistan menyifatkan tindakan India sebagai serangan "kejam dan tidak berprovokasi", yang turut mengorbankan wanita dan kanak-kanak," menurut kenyataan tersebut.
India pula melaporkan 15 kematian orang awam serta lima anggotanya terkorban dalam insiden sama, dengan kedua-dua negara saling menuduh antara satu sama lain sebagai pencetus konflik.
Bagaimanapun, gencatan senjata yang diumumkan pada Sabtu lalu dilaporkan masih kekal setakat hari ini, dengan Presiden Trump menyifatkan campur tangan AS berjaya mengelakkan konflik nuklear yang boleh meragut jutaan nyawa.
Terdahulu, Perdana Menteri India, Narendra Modi menuduh Pakistan menyokong keganasan dan memberi amaran akan bertindak balas sekiranya serangan berlaku lagi.
Krisis tercetus susulan serangan terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu, mengorbankan 26 nyawa, namun Pakistan menafikan penglibatan dalam kejadian tersebut.- AFP