GENEVA, 9 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa menyifatkan angka korban akibat COVID-19 sehingga setengah juta yang direkod sejak varian Omicron dikesan adalah "terlampau tragik".
Pengurus Insiden WHO, Abdi Mahamud berkata, 130 juta kes dikesan di seluruh dunia sejak Omicron diisytihar sebagai varian membimbangkan (VOC) pada penghujung November lalu.
Sejak itu, Omicron telah mengatasi Delta dengan pantas sebagai varian paling dominan di dunia kerana ia lebih mudah berjangkit walaupun hanya menyebabkan gejala yang kurang teruk.
"Ramai orang berkata Omicron kurang memberi kesan pada kesihatan, namun mereka terlepas satu perkara, iaitu setengah juta orang telah terkorban sejak ia dikesan," katanya ketika berinteraksi secara langsung di saluran media sosial WHO.
Sementara itu, Ketua Teknikal Mengenai COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove berkata, jumlah kes Omicron yang dikenal pasti adalah mengejutkan dan angka sebenar mungkin jauh lebih tinggi.
"Ia menjadikan kes yang memuncak sebelum ini hampir rata, kita masih di tengah-tengah pandemik, banyak negara masih belum melepasi puncak kes Omicron," katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan setelah jumlah kes kematian meningkat selama beberapa minggu berturut-turut. -AFP