TRIPOLI, 18 September - Sekurang-kurangnya 50 pelarian Sudan maut selepas bot dinaiki mereka terbakar di perairan timur Libya berhampiran Tobruk, pada Ahad lalu, menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM).
Jurucakap IOM berkata, bot getah berkenaan membawa 75 pelarian Sudan dan dalam perjalanan menuju ke Greece apabila insiden tragis itu berlaku.
“Sekurang-kurangnya 50 nyawa terkorban. IOM telah memberi rawatan perubatan segera untuk menyelamatkan 24 mangsa yang terselamat,” katanya kepada AFP tanpa menjelaskan sama ada terdapat mangsa masih hilang.
Libya merupakan laluan transit utama bagi ribuan migran yang cuba menyeberang ke Eropah setiap tahun.
Laluan Mediterranean tengah dianggap paling berbahaya dengan ratusan korban direkodkan setiap tahun.
Sejak awal tahun ini, seramai 456 migran dilaporkan maut manakala 420 lagi hilang di laluan itu.
Pada 2024 sahaja, 2,573 migran meninggal dunia ketika cuba ke Eropah melalui laut.
Pihak berkuasa Libya turut mengesahkan lebih 17,000 migran dipintas dan dihantar pulang ke negara itu sejak Januari, termasuk 1,516 wanita dan 586 kanak-kanak.
Konflik bersenjata di Sudan sejak dua tahun lalu pula telah mengusir lebih 140,000 pelarian ke Libya, hampir menggandakan jumlah pelarian Sudan di negara berkenaan.
Keadaan Libya yang masih bergolak selepas kejatuhan Muammar Gaddafi pada 2011 terus menyaksikan penyeludup manusia mengambil kesempatan sekali gus mendedahkan pelarian kepada pemerasan, buruh paksa dan perhambaan. - AFP