fb fb fb fb fb

Gelang emas firaun berusia 3,000 tahun lesap dari muzium Kaherah

Gelang milik firaun ditemui di Tanis ketika kerja ekskavasi (proses penggalian) arkeologi di makam Raja Psusennes I/Foto tular

KAHERAH, 8 September – Sebentuk gelang emas berusia 3,000 tahun dilaporkan hilang dari makmal pemuliharaan Muzium Mesir di Kaherah, menurut kenyataan Kementerian Antikuiti negara itu.

Gelang tersebut, berbentuk lingkaran emas dihiasi manik lazuli sfera, dipercayai berasal daripada pemerintahan Firaun Amenemope, Dinasti ke-21 Mesir (1070–945 SM).

Media tempatan melaporkan kehilangan itu hanya disedari beberapa hari lalu ketika proses inventori menjelang pameran “Treasures of the Pharaohs” yang dijadualkan diadakan di Rom hujung Oktober ini.

Kementerian berkata siasatan dalaman telah dimulakan, sementara semua unit antikuiti di lapangan terbang, pelabuhan dan pintu sempadan Mesir telah dimaklumkan berhubung kes kehilangan tersebut.

Menurut pakar Mesir Purba, gelang berkenaan ditemui di Tanis ketika kerja  ekskavasi (proses penggalian) arkeologi di makam Raja Psusennes I, di mana Amenemope disemadikan semula selepas makam asalnya diceroboh.

Beliau menyifatkan gelang itu tidak begitu indah dari sudut seni, tetapi sangat bernilai dari aspek saintifik kerana dibuat daripada aloi emas tahan ubah bentuk serta dihiasi lapis lazuli, batu permata yang diimport dari Afghanistan.

Kehilangan itu berlaku ketika Mesir bersiap sedia untuk pembukaan rasmi Muzium Besar Mesir pada 1 November, yang dianggap mercu tanda budaya utama di bawah pentadbiran Presiden Abdel Fattah al-Sisi.

Muzium Mesir di Medan Tahrir ketika ini menempatkan lebih 170,000 artifak termasuk topeng emas pengebumian Firaun Amenemope dan sedang memindahkan koleksi ikonik seperti harta karun makam Raja Tutankhamun. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN