BEIRUT, 18 September -Tentera Lubnan merampas kira-kira 64 juta pil captagon dalam satu serbuan di timur negara itu, menjadikannya antara operasi terbesar membanteras dadah di Lubnan.
Tentera berkata rampasan dilakukan selepas risikan pergerakan sindiket dadah di Lembah Bekaa sebelum pasukan perisikan bersama unit tentera menyerbu sebuah fasiliti di pekan Boudai, Baalbek.
Selain pil captagon, tentera turut merampas 79 tong bahan kimia yang disediakan untuk pembuatan dadah serta beberapa mesin digunakan dalam proses penghasilan dadah berkenaan.
Tentera menyifatkan rampasan itu sebagai antara kejayaan paling penting dalam usaha negara tersebut mengekang pengedaran captagon, dadah sintetik yang menjadi pasaran besar di negara Teluk.
Baalbek terletak berhampiran Syria, di mana captagon menjadi eksport utama selepas perang saudara 2011.
Negara jiran Lubnan beberapa kali mengumumkan rampasan captagon dan mendesak Beirut serta Damsyik mempertingkat usaha membanteras sindiket dadah rentas sempadan itu. - AFP