fb fb fb fb fb

Jerman desak AS lindungi kebebasan wartawan

Gambar hiasan

BERLIN, 18 September - Menteri Luar Jerman, Johann Wadephul, menggesa agar wartawan dibenarkan bekerja secara bebas di Amerika Syarikat susulan rancangan Washington memendekkan tempoh visa mereka.

Beliau berkata kerajaan Jerman menjangkakan pengamal media dapat bekerja bebas dan berdikari di seluruh dunia, termasuk di negara sekutu seperti Amerika Syarikat.

“Kerajaan Jerman komited terhadap kebebasan media dan laporan bebas di seluruh dunia. Kami akan memantau rapat sama ada wartawan Jerman dapat bekerja di luar negara,” katanya di Parlimen.

Pentadbiran Presiden Donald Trump bulan lalu mengumumkan rancangan mengehadkan tempoh visa wartawan kepada 240 hari boleh diperbaharui – atau hanya 90 hari bagi media China – berbanding lima tahun ketika ini.

Lebih 100 kumpulan media antarabangsa membantah langkah itu, menegaskan ia akan menjejaskan reputasi Amerika Syarikat selain mengurangkan kualiti liputan berita dari negara itu.

Pertikaian turut tercetus di Jerman selepas seorang pegawai Amerika menuntut visa wartawan Jerman ditarik balik kerana kenyataan dalam sebuah podcast mengenai pembunuhan aktivis sayap kanan Charlie Kirk.

Jurucakap kerajaan Jerman, Stefan Kornelius, berkata Berlin kini berbincang dengan Washington mengenai tekanan terhadap wartawan asing.

Manakala Canselor Friedrich Merz menegaskan sokongan penuh terhadap kebebasan media. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN