ABIDJAN, 18 September - Dua wartawan yang diculik di Burkina Faso dan dilaporkan hilang lebih setahun lalu akhirnya dibebaskan, menurut keluarga mereka kepada AFP.
Mangsa, Adama Bayala dari stesen televisyen swasta BF1, dilaporkan hilang pada Jun 2024 ketika dalam perjalanan menemui rakannya di Ouagadougou.
Seorang lagi wartawan, Alain Traore atau lebih dikenali sebagai “Alain Alain”, yang juga ketua pengarang Omega Media, diculik lelaki bersenjata pada Julai tahun lalu.
“Kondisinya agak kurus tetapi berada dalam keadaan baik,” kata salah seorang ahli keluarga Bayala kepada AFP.
Kedua-dua mereka dibebaskan pada awal minggu ini, menjadikan mereka wartawan terbaharu yang dilepaskan selepas insiden penculikan berulang berlaku sejak junta tentera mengambil alih kuasa pada 2022.
Lima wartawan Burkina Faso turut dibebaskan Julai lalu selepas ada antara mereka dipaksa menyertai barisan hadapan memerangi pemberontak jihad.
Namun, seorang lagi wartawan penyiasatan, Atiana Serge Oulon dari majalah dwibulanan L’Evenement, yang diculik pada Jun 2024, masih dilaporkan hilang.
Aktivis serta puluhan pegawai tentera termasuk bekas Ketua Staf Gendarmerie, Evrard Somda, juga dilaporkan terus ditahan junta atas tuduhan konspirasi serta cubaan menggugat institusi republik. - AFP