WASHINGTON, 19 Februari- Lebih 40% tentera Rusia di sempadan Ukraine kini berada dalam kedudukan sedia untuk memulakan serangan menunjukkan kempen ketidakstabilan sudah dimulakan pihak Moscow, kata pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS).
AS menganggarkan bahawa Rusia telah menempatkan lebih 150,000 tentera berhampiran sempadan Ukraine; mendakwa berlaku pergerakan ketara tentera sejak Rabu lalu, kata pegawai berkenaan yang tidak mahu namanya disiarkan.
“40% ke 55% dalam posisi menyerang. Mereka (tentera Rusia) tidak lagi berada dalam kedudukan taktikal sejak 48 jam yang lalu,” kata pegawai tersebut kepada pemberita.
Lokasi perhimpunan taktikal adalah kawasan bersebelahan sempadan di mana unit tentera berada dikedudukan paling hadapan sebelum serangan.
Menurut pegawai tersebut, Moscow telah menempatkan 125 batalion kumpulan taktikal berhampiran sempadan Ukraine berbanding 60 pada hari biasa dan 80 batalion awal Februari lalu.
(Kereta kebal tentara Rusia mula meninggalkan kawasan sempadan Ukraine selepas selesai latihan ketenteraan/AFP)
Pertempuran yang semakin meningkat antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine di wilayah tenggara Donbas di Ukraine ditambah hasutan oleh pegawai di Rusia dan Donbas, menunjukkan bahawa "kempen ketidakstabilan telah bermula," kata pegawai itu.
Washington sudah memberi amaran sejak beberapa minggu lalu bahawa Rusia akan melakukan provokasi atau mewujudkan insiden di kawasan tersebut sebagai alasan menceroboh Ukraine.
Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin memberitahu ABC News, “minggu ini” Presiden Rusia Vladimir Putin, “sudah mempunyai beberapa pilihan melakukan serangan dalam masa singkat.”
“Saya tidak merasakan ia satu gertakan” kata Austin sambil menjelaskan “saya merasakan dia (Putin) menghimpunkan… sesuatu yang diperlukan untuk melakukan pencerobohan."
Moscow menafikan tenteranya merancang untuk mengerang jiran baratnya, namun menuntut jaminan bahawa Ukraine tidak akan menyertai NATO dan pakatan Barat perlu mengeluarkan tentera dari Eropah Timur, permintaan yang ditolak Barat.
Wilayah Krimea, Ukraine dikuasai Rusia pada 2014 selepas serangan yang turut dibantu puak pemisah pro-Rusia. -AFP