fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya 9 orang terbunuh ribut Eunice landa Eropah

LONDON, 19 Februari- Ribut Eunice yang melanda Eropah setakat ini mengorbankan sekurang-kurangnya sembilan nyawa.

Paling terjejas di Britain apabila angin paling kuat direkodkan memaksa jutaan penduduk mencari tempat perlindungan.

Perkhidmatan kereta api, feri dan pengangkutan udara turut dilaporkan terjejas di seluruh Eropah Barat.

London hampir kosong selepas ibu negara Britain itu ditelakkan bawah amaran cuaca “merah” bermakna “berisiko kepada kehidupan”.

Menjelang malam, polis memaklumkan seorang wanita berumur 30-an meninggal dunia selepas sebatang pokok tumbang menghempap kereta dinaikinya.

(Ombak kuat di kawasan pejalan kaki di Etretat, barat Perancis pada 18 Februari 2022/AFP)

Sementara itu, seorang lelaki 50-an dilaporkan terbunuh di barat laut England selepas serpihan mengenai cermin hadapan kereta dinaikinya, menurut Polis Merseyside.

Pokok tumbang turut menyebabkan tiga orang di Belanda dan seorang lelaki berusia 60-an di tenggara Ireland manakala seorang lelaki Kanada berusia 79 tahun meninggal dunia di Belgium, lapor pihak berkuasa setiap negara.

Kematian turut dilaporkan di Jerman apabila sebuah kereta dihempap pokok tumbang di bandar Altenberge.

Sama seperti di London, amaran cuaca tertinggi turut dikeluarkan di seluruh selatan England, South Wales dan Belanda, menyebabkan banyak sekolah terpaksa ditutup dan melumpuhkan perkhidmatan kereta api. Ombak tinggi dan kuat menggegarkan benteng laut di sepanjang pantai.

Ribut Eunice turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada lebih 140,000 kediaman di England, kebanyakan di barat daya dan 80,000 hartanah di Ireland, kata syarikat utiliti tempatan.

Angin selaju 196 kilometer sejam direkodkan di Isle of Wight, selatan England, “paling kuat pernah direkodkan di England", kata Pejabat Meteorologi. -AFP

Media Baharu