fb fb fb fb fb

40 pekerja selamat dalam insiden terowong runtuh

40 pekerja India terperangkap selama 24 jam di terowong yang runtuh sepanjang 4.5 kilometer (2.7 batu) sedang dibina antara Silkyara dan Dandalgaon/FOTO AFP

DEHRADUN, INDIA, 13 November - Petugas keselamatan utara India berjaya menghubungi 40 pekerja yang terperangkap selama lebih 24 jam selepas terowong jalan yang mereka bina runtuh di negeri Uttarakhand, Himalaya.

Komander kanan dalam Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan, Karamveer Singh Bhandari berkata semua 40 pekerja yang terperangkap di dalam terowong itu ditemui selamat.

"Kami menghantar air dan makanan kepada mereka," katanya.

Runtuhan yang berlaku awal pagi semalam, memaksa pasukan penyelamat menggunakan jengkaut berat untuk membersihkan timbunan.

Bekalan Oksigen turut dipam ke bahagian terowong yang tersumbat.

Makanan juga dihantar melalui saluran air paip.

Hubungan awal dibuat melalui nota pada sekeping kertas, kemudian petugas penyelamat berjaya menghubungi mereka menggunakan telefon bimbit radio.

"Beberapa paket makanan kecil dihantar masuk melalui paip yang digunakan untuk saluran oksigen," kata pegawai penyelamat, Durgesh Rathodi.

Sementara itu, Ketua Menteri Uttarakhand, Pushkar Singh Dhami, yang hari ini terbang ke lokasi kemalangan, berkata kerja-kerja untuk mengalihkan bertan-tan serpihan konkrit yang runtuh dilakukan secara berterusan untuk membawa semua mangsa keluar dengan selamat.

"Hubungan telah dibuat dengan pekerja yang terperangkap dalam terowong melalui walkie-talkie.

"Usaha sedang dibuat untuk membawa mereka keluar dengan selamat tidak lama lagi," katanya menerusi media sosial X.

Seorang pekerja penyelamat berkata, kumpulan lelaki itu dihubungi sejurus selepas tengah malam, hari ini.

"Berita baik ialah buruh tidak bersesak-sesak, dan mempunyai kawasan sekitar 400 meter untuk berjalan dan bernafas," kata pegawai respons bencana, Devendra Patwal kepada akhbar Indian Express.

Terowong sepanjang 4.5 kilometer (2.7 batu) sedang dibina antara Silkyara dan Dandalgaon.

Ia untuk menghubungkan dua tempat suci Hindu yang paling suci iaitu Uttarkashi dan Yamunotri.

Gambar yang dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kerajaan menunjukkan timbunan besar runtuhan.

Terowong itu merupakan sebahagian daripada Projek Jalan Char Dham Perdana Menteri Narendra Modi yang bertujuan untuk meningkatkan ketersambungan antara beberapa tempat suci Hindu paling popular di negara ini yang bersempadan dengan China.

Di India, kemalangan melibatkan tapak pembinaan infrastruktur besar adalah perkara biasa.

Pada Januari, dianggarkan 200 angka korban dalam banjir kilat di Uttarakhand yang didakwa berpunca daripada pembangunan yang berlebihan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN