fb fb fb fb fb

'Cukup-cukuplah!' - Pope Francis rayu hentikan penderitaan Gaza

Pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis/FOTO REUTERS

VATICAN, 13 November - Pemimpin tertinggi Vatican, Pope Francis, 86, mengulangi rayuannya untuk menamatkan dengan segera konflik yang berlaku antara Israel dan Palestin.

Beliau turut menggesa untuk menghantar 'lebih banyak' bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza.

"Cukup-cukuplah saudara!" demikian rayuan Francis ketika berucap kepada orang ramai selepas upacara keagamaan mingguan di Dataran St Peter.

Beliau menambah mereka yang cedera di Semenanjung Gaza perlu dirawat dengan segera serta memberi jaminan perlindungan kepada orang awam.

Beliau turut menggesa agar tahanan Hamas dibebaskan selain mengecam bahawa senjata tidak
membawa kepada keamanan dan konflik itu tidak boleh merebak jauh.

"Saya rapat dengan semua yang menderita, Palestin dan Israel," katanya, sambil berdoa untuk mereka.

Semalam, tentera Israel berkata bersedia untuk memindahkan bayi dari hospital terbesar di Gaza.

Bagaimanapun pegawai Palestin berkata orang ramai masih terperangkap di dalam hospital itu selepas serangan Zionis Israel.

Pada Jumaat, pegawai Palestin mendedahkan angka korban penduduk Gaza mencecah 11,078 nyawa susulan serangan udara dan darat sejak 7 Oktober lalu.

Manakala, daripada angka itu, 40 peratus jadi mangsa korban kekejaman rejim Israel adalah kanak-kanak.

Francis turut menggesa penubuhan koridor kemanusiaan dan penyelesaian segera untuk menamatkan konflik Israel-Hamas. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN