fb fb fb fb fb

300 cedera dalam kebakaran letupan gas di Nairobi

Pasukan bomba sedang berusaha memadam api kebakaran di lokasi kejadian/FOTO AFP

 NAIROBI, 2 Februari - Sekurang-kurangnya 300 orang cedera dalam kebakaran besar disebabkan letupan gas di ibu negara Kenya, Nairobi pada malam tadi, menurut Palang Merah Kenya.

"Tindakan pantas dari pelbagai unit tindak pasukan penyelamat telah memindahkan seramai 271 individu ke pusat kesihatan yang berbeza di Nairobi," kata Palang Merah Kenya menerusi Twitter hari ini.

Manakala 27 orang lagi masih dirawat di lokasi kejadian.

Jurucakap kerajaan, Isaac Miagua Mwaura berkata kejadian berlaku pada malam semalam di kawasan kejiranan Embakasi di tenggara ibu negara.

"Sebuah lori dengan nombor pendaftaran yang tidak dikenali sarat dengan muatan gas telah pun meletup, api semakin marak menyebabkan kebakaran merebak dengan cepat," katanya.

"Akibat kejadian itu, api yang marak turut merosakkan beberapa kenderaan dan hartanah komersial, termasuk menjejaskan perniagaan kecil dan sederhana.

"Malangnya, rumah-rumah kediaman di kawasan kejiranan juga terbakar, dengan sebilangan besar penduduk masih berada di dalam rumah masing-masing kerana kejadian pada lewat malam," katanya.

Kira-kira pada 6:30 pagi waktu tempatan (3.30 pagi waktu Malaysia), anggota bomba masih berusaha untuk mengawal kebakaran.

Kelihatan asap hitam berkepul-kepul ke udara dari pinggir bandar itu. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN