NEW DELHI, 20 April- Sekurang-kurangnya tiga orang, termasuk dua kanak-kanak, maut dalam kejadian tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda kawasan Ramban di Wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India, menurut pegawai pada Ahad, lapor Xinhua.
Banyak rumah dan harta benda lain sama ada musnah sepenuhnya atau rosak teruk akibat bencana alam itu. Laluan perhubungan turut terjejas apabila jalan-jalan ditenggelami atau dihanyutkan oleh banjir kilat.
Laporan media menyatakan hampir 100 orang telah diselamatkan dan dipindahkan ke kem penempatan sementara.
Bercakap melalui telefon, Pegawai Perubatan Daerah Ramban Kamal Zadoo berkata setakat ini tiada mangsa cedera yang dimasukkan ke hospital tempatan, namun kerosakan besar berlaku akibat tanah runtuh, aliran lumpur dan banjir kilat. Orang ramai dinasihatkan agar tidak keluar dari kediaman masing-masing.- BERNAMA-XINHUA