fb fb fb fb fb

27 pelancong India maut bas terbabas tebing sungai

Bas yang dinaiki pelancong India terbabas dan tergelincir dari lereng gunung ke tebing sungai di Nepal/Foto REUTERS

KATHMANDU, 23 Ogos - Sekurang-kurangnya 27 pelancong India terkorban dan 16 cedera selepas sebuah bas yang dinaiki mereka terbabas dan tergelincir dari lereng gunung ke tebing sungai di tengah Nepal hari ini.

Bas tersebut sedang dalam perjalanan dari Pokhara ke ibu kota Kathmandu ketika kemalangan berlaku sekitar tengah hari tadi di daerah Tanahun.

"Daripada 43 penumpang, seramai 27 orang telah meninggal dunia," kata pegawai daerah Tanahun, Janardan Gautam kepada AFP.

Pasukan penyelamat berusaha keras melawan arus deras Sungai Marsyangdi untuk mengeluarkan penumpang yang terperangkap dalam air.

Sementara itu, seramai 16 penumpang yang cedera telah diterbangkan menggunakan helikopter tentera ke Kathmandu untuk mendapatkan rawatan.

Menurut statistik, hampir 2,400 orang terkorban di jalan raya Nepal dalam tempoh setahun hingga April.

Kemalangan hari ini berlaku sebulan selepas dua bas dihanyutkan oleh tanah runtuh di Chitwan, yang mana 20 mayat telah ditemui dan pencarian masih diteruskan.

Pada bulan Januari, 12 orang terbunuh dan 24 cedera dalam kemalangan bas yang terjunam ke dalam sungai.

Perjalanan jalan raya di Nepal menjadi lebih berbahaya ketika musim monsun kerana hujan menyebabkan tanah runtuh dan banjir.

Sejak Jun, lebih 170 orang terbunuh akibat banjir, tanah runtuh, dan panahan petir. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN