JAKARTA, 28 November – Hujan lebat yang melanda wilayah Sumatera Utara sejak minggu lalu telah menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh di empat daerah, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang, menurut agensi bencana Indonesia.
Tanah runtuh di kampung Deli Serdang pada Rabu telah meragut tujuh nyawa dan mencederakan 20 orang, kata jurucakap polis Sumatera Utara, Hadi Wahyudi.
Pasukan penyelamat kini mencari mangsa yang hilang, termasuk mereka yang terperangkap dalam bas mini dan kenderaan lain di sebuah jalan berbukit yang dilanda tanah runtuh.
Pencarian yang bermula pada hujung minggu lalu telah menemui 20 mayat, dan pasukan penyelamat masih mencari dua mangsa yang hilang.
"Pada hari ini, kami memberi tumpuan kepada pencarian mangsa yang hilang dan membersihkan jalan-jalan yang terjejas akibat tanah runtuh," kata Hadi, sambil menambah jengkaut telah digunakan untuk membantu operasi.
Banjir kilat dan tanah runtuh turut merosakkan rumah, masjid, dan sawah padi.
Hujan lebat juga menyebabkan banjir di ibu kota Medan, yang memaksa penundaan pengundian pilihan raya daerah di beberapa pusat pengundian.
Cuaca ekstrem dijangka melanda Indonesia menjelang penghujung tahun 2024, dengan fenomena La Nina yang meningkatkan hujan di seluruh kepulauan tropika itu, menurut amaran agensi cuaca negara.-REUTERS