fb fb fb fb fb

26 tentera Nigeria terkorban, helikopter penyelamat terhempas

(FOTO HIASAN/ AFP)

KANO, 15 Ogos- Sekurang-kurangnya 26 anggota pasukan keselamatan Nigeria terbunuh dan lapan lagi cedera dalam serang hendap oleh suspek bersenjata di Nigeria Ahad lalu, menurut sumber tentera.

Selain itu, seorang jurucakap tentera udara memaklumkan helikopter dikerah menyelamatkan mereka yang cedera pada pagi Isnin di lokasi pertempuran antara pasukan tentera dengan kumpulan penjenayah, terhempas kerana diserang.

Bagaimanapun pihak tentera tidak memperincikan sama ada anak kapal dan penumpang selamat.

"Kami kehilangan 23 askar, termasuk tiga pegawai dan tiga anggota JTF Awam (penjenayah) terkorban dalam pertempuran itu, manakala lapan anggota tentera cedera," kata sumber pertama susulan pertempuran sengit di lebuh raya Zungeru-Tegina.

Sumber tentera kedua turut mengesahkan angka sama dan memberitahu penjenayah itu turut merekodkan angka korban yang tinggi.


(Foto Fail: Kelihatan askar menaiki trak di Nigeria/ REUTERS)

Pada masa sama, beliau berkata komunikasi dengan helikopter tentera udara yang dikerah ke lokasi terputus ketika ia membawa 11 mayat serta tujuh anggota yang cedera.

Helikopter itu dipercayai terhempas akibat ditembak penjenayah.

Jurucakap tentera udara, Edward Gabkwet, mengesahkan bahawa helikopter Mi-171 itu terhempas ketika misi menyelamat sejurus berlepas dari Zungeru.

"Helikopter itu berlepas dari Sekolah Rendah Zungeru menuju ke Kaduna, namun kemudian ditemui terhempas berhampiran Kampung Chukuba di Kawasan Kerajaan Tempatan Shiroro di Niger," katanya dalam satu kenyataan.

Gabkwet berkata  usaha menyelamat individu yang berada dalam helikopter itu sedang dijalankan dan siasatan awal dibuka bagi mengenal pasti punca nahas. - AFP

Media Baharu