MAKASSAR, 29 Mei - 26 penumpang dilaporkan hilang selepas feri dinaiki kehabisan minyak dan karam dalam cuaca buruk di luar pantai Indonesia.
Feri membawa 43 penumpang itu dilapor karam di Selat Makassar dan misi mencari dan menyelamat telah dilancarkan melibatkan 40 anggota pihak berkuasa Indonesia.
Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Indonesia (BASARNAS), Djuanidi, setakat ini 17 penumpang berjaya diselamatkan oleh dua bot tunda yang melalui lokasi kejadian.
"Tujuh belas orang telah diselamatkan hidup-hidup oleh dua bot tunda yang sedang melaluinya. Kami telah mengerahkan pasukan penyelamat untuk mencari mangsa yang hilang," katanya.
Tambah Djuanidi, pasukan penyelamat terus mempertingkatkan usaha mengesan mangsa yang masih selamat termasuk penumpang hilang.
Kes feri karam itu telah menambah satu lagi insiden marin di Indonesia selepas lebih 800 orang terkandas selama dua hari di Nusa Tenggara Timur, minggu lalu sebelum berjaya diselamatkan.
Pada 2018, 150 orang maut apabila sebuah feri karam di salah satu tasik paling dalam di dunia di pulau Sumatera.-AFP