fb fb fb fb fb

31 maut dalam rempuhan acara gereja di Nigeria

ABUJA, 29 Mei- Sekurang-kurangnya 31 orang terbunuh manakala tujuh lagi cedera dalam kes rempuhan ketika acara amal pengagihan makanan di sebuah gereja di Port Harcourt, Nigeria, semalam.

Penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan di wilayah selatan, Godwin Tepikor, memberitahu AFP bahawa anggota gereja yang sudah berada di dalam bangunan mendorong orang ramai cuba masuk juga.

"Sejumlah besar orang ramai cuba merempuh masuk menerusi laluan sempit, menyebabkan berlakunya tragedi yang menyayat hati ini," katanya.

Antara yang maut termasuk seorang wanita hamil serta beberapa kanak-kanak, kata jurucakap polis di bandar Port Harcourt di Rivers, Grace Iringe-Koko.

Jelas beliau, ketika kejadian, orang ramai hadir ke Gereja Kings Assembly Pentecosta di wilayah Rivers bagi menyertai acara amal tahunan 'Shop for Free'.

Kasut dan selipar berselerakan di perkarangan gereja selepas tragedi di itu, yang menyaksikan orang ramai berasak-asak cuba ke hadapan bagi mendapatkan bantuan makanan.

Imej dipaparkan di media sosial yang disahkan AFP menunjukkan keluarga meratapi mangsa yang maut atau cuba merawat mereka yang cedera, sebahagian besarnya kanak-kanak, di luar hospital tentera di bandar itu.

Menurut statistik kerajaan, acara amal sering dilakukan di Nigeria di mana lebih 80 juta daripada penduduknya hidup di bawah paras kemiskinan.


(Suasana di perkarangan gereja Kings Assembl Pentecosta, di Port Harcourt di Rivers, Nigeria selepas tragedi rempuhan/ AFP)

Acara yang dijadualkan semalam itu sepatutnya bermula pada jam 9 pagi waktu tempatan, namun ramai orang hadir seawal jam 5 pagi bagi mendapatkan tempat, kata polis.

Pagar gereja yang berkunci dibuka secara paksa oleh mereka yang hadir menyebabkan rempuhan berlaku.

Anggota Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mayat mangsa serta membawa mereka yang cedera ke hospital.

Siasatan kini dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar rempuhan.

Sebelum ini 24 orang terkorban dalam rempuhan di sebuah gereja di Anambra pada 2013, manakala sekurang-kurangnya 16 terkorban ketika temu duga jawatan dalam sektor kerajaan diadakan di Abuja pada 2014. - AFP

Media Baharu