fb fb fb fb fb

24 terbunuh akibat dipanah petir di Gujerat

Beberapa kawasan di selatan dan tengah Gujarat, termasuk Ahmedabad, dilanda hujan sangat lebat dalam tempoh 24 jam lepas, mengakibatkan situasi seperti banjir di beberapa kawasan rendah/FOTO REUTERS

AHMEDABAD, 27 November - Kira-kira 24 orang maut akibat dipanah petir manakala 23 orang lagi cedera di negeri Gujerat, barat India.

Kejadian berlaku akibat hujan yang masih berterusan sejak dua hari lalu, menurut pegawai kerajaan.

Negeri itu dilanda hujan lebat disertai ribut petir dan hujan batu pada Ahad dan semalam.

Dilaporkan beberapa tempat juga mengalami hujan sehingga 144 milimeter dalam tempoh 24 jam berakhir pagi ini, menurut data kerajaan negeri.

Keadaan hujan berterusan itu menyebabkan kerosakan rumah dan kehilangan lembu di seluruh negeri.

"Kami akan memulakan tinjauan tidak lama lagi untuk menilai kerugian yang dialami," kata Menteri Pertanian Gujarat, Raghavij Patel sambil menambah bahawa pampasan akan dibayar kepada mangsa berdasarkan keputusan tinjauan itu.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi India (IMD) meramalkan hujan akan berterusan di beberapa bahagian negeri itu hari ini.

Gujerat tidak asing dengan bencana yang berkaitan dengan hujan yang mana pada Ogos 2020 telah mengorbankan 14 orang dalam tempoh dua hari dalam pelbagai kejadian berkaitan hujan lebat dan banjir.

Manakala tahun sebelumnya, pada Ogos 2019, dilaporkan 31 orang maut di negeri itu dalam kejadian berkaitan hujan. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN