fb fb fb fb fb

Kerajaan New Zealand akan mansuhkan undang-undang antimerokok

WELLINGTON, 27 November - Perdana Menteri baharu New Zealand, Christopher Luxon mengesahkan akan memansuhkan undang-undang antimerokok yang disifatkan sebagai 'kemenangan besar bagi industri tembakau'.

Sebelum ini, di bawah bekas perdana menteri, Jacinda Ardern, undang-undang itu bertujuan melarang penjualan rokok kepada mereka yang dilahirkan selepas 2008.

Langkah itu mendapat pujian pakar kesihatan awam dan penyokong antimerokok.

Bagaimanapun, selepas Luxon mengangkat sumpah hari ini, undang-undang itu akan dibatalkan sebelum ia dikuat kuasakan.

Luxon mengakui bahawa hasil cukai yang dikutip daripada jualan rokok akan menjadi sumber pendapatan negara.

Bagaimanapun, beliau turut melahirkan kebimbangan dengan penjualan rokok di pasaran gelap yang semakin maju tidak terkawal ekoran larangan antimerokok.

Tindakan itu dikritik kumpulan antimerokok sebagai langkah ke belakang negara.

"Ini merupakan kerugian besar bagi kesihatan awam, dan kemenangan besar bagi industri tembakau, yang mana keuntungannya akan meningkatkan lagi dan mengorbankan nyawa Kiwi," kata Gabungan Kesihatan Aotearoa - nama Maori untuk New Zealand - dalam satu kenyataan.

Undang-undang antimerokok, yang dikuat kuasakan bermula akhir tahun ini, telah diusulkan sebagai langkah untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau dengan serta-merta.

Walaupun jumlah orang dewasa yang merokok di New Zealand agak rendah dengan lapan peratus, namun kerajaan terdahulu telah membayangkan masa depan negara itu yang bebas asap rokok.

Selain had umur yang semakin meningkat, undang-undang baharu itu akan mengurangkan bilangan peruncit yang boleh menjual produk tembakau kepada maksimum hanya 600 di seluruh negara, penurunan besar daripada angka semasa iaitu 6,000. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN