TEL AVIV, 27 Oktober – Seorang pemandu lori merempuh orang awam di perhentian bas dan menyebabkan sekurang-kurangnya 24 orang cedera di Aharon Yariv Boulevard di Ramat HaSharon.
Pemandu bas terbabit kemudiannya ditembak pihak berkuasa bagi menghentikan tindakannya.
Siasatan awal juga mendapati pemandu itu melanggar sebuah lagi bas yang sedang berhenti ketika menurunkan penumpang di lokasi yang sama.
Bagaimanapun, pihak polis belum mengesahkan sama ada insiden itu merupakan serangan yang disengajakan ataupun tidak.
Daripada yang cedera, sekurang-kurangnya 16 orang telah dihantar ke hospital berhampiran, menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA).
Pihak polis dan ambulans segera ke tempat kejadian dengan sebuah helikopter berlegar di udara.
Kawasan tersebut dikawal ketat sementara pasukan perubatan memberikan bantuan kepada mereka yang cedera.