fb fb fb fb fb

Taufan Trami: Angka kematian cecah 100 orang

Penduduk meredah banjir di laluan yang ditenggelami hujan lebat akibat Taufan Trami di Cainta, wilayah Rizal timur Manila/Foto AFP

MANILA, 27 Oktober - Kematian akibat Taufan Trami di Filipina kini mencecah 100 orang, manakala 36 lagi masih hilang.

Pasukan penyelamat sedang berusaha menyelam di tasik dan perkampungan terpencil untuk mencari mangsa sejak taufan melanda pada 24 Oktober lalu.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, taufan kali ini telah memaksa lebih daripada setengah juta penduduk meninggalkan kediaman mereka, manakala 36 orang masih belum ditemui.

Antara wilayah yang paling terjejas adalah Bicol, dengan 38 kematian direkodkan akibat lemas.

Dalam pada itu, di Batangas, angka kematian meningkat kepada 55 orang, termasuk beberapa mangsa tanah runtuh.

“Kami masih menerima banyak panggilan dan sedang berusaha menyelamatkan seramai yang mungkin,” kata Ketua Polis Wilayah Bicol, Andre Dizon kepada AFP.

Beliau berharap tiada lagi kematian yang dilaporkan dalam bencana itu.

Dizon turut memaklumkan, ramai penduduk di wilayah Camarines Sur masih terperangkap di atas bumbung dan tingkat atas rumah mereka.

Sementara itu, di wilayah Cavite, dua kematian dilaporkan dalam insiden berasingan akibat renjatan elektrik dan mati lemas.

Pasukan penyelamat turut mencari satu keluarga yang hilang di Tasik Taal setelah rumah mereka dihanyutkan banjir.

Lebih daripada 20 mayat ditemui dalam lumpur selepas beberapa pokok tumbang di seluruh wilayah yang terjejas.

Manakala polis melaporkan sekurang-kurangnya 20 lagi orang di wilayah itu masih hilang.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 560,000 orang dipindahkan akibat banjir yang menenggelamkan ratusan kampung di kawasan utara Filipina. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN