GENEVA, 22 Jun- Seramai 22 orang terbunuh dalam kejadian serangan yang merosakkan pejabat Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Gaza.
Kawasan tersebut dikelilingi oleh ratusan orang yang tinggal di dalam khemah kerana kehilangan tempat tinggal.
ICRC menerusi kenyataan di platform media sosial X berkata serangan tersebut merosakkan struktur pejabat ICRC. Namun, tidak menyatakan pihak yang melakukan serangan.
Pertubuhan itu berkata 22 mayat dan 45 mangsa yang mengalami kecederaan telah dibawa ke hospital medan Palang Merah yang terletak berhampiran, selain terdapat laporan kematian tambahan.
"Peluru berkaliber berat 'mendarat' dalam jarak beberapa meter dari pejabat dan kediaman Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa pada petang Jumaat", katanya.
"Tembakan sangat berbahaya berhampiran dengan struktur kemanusiaan, yang lokasinya diketahui oleh pihak yang terlibat konflik dan yang jelas ditandai dengan lambang Palang Merah, meletakkan nyawa orang awam dan kakitangan Palang Merah dalam bahaya," tambah badan itu.
"Insiden yang teruk ini adalah salah satu daripada beberapa kejadian dalam beberapa hari kebelakangan ini.
"Sebelum ini, peluru sesat telah mengenai struktur ICRC. Kami mengecam insiden ini yang membahayakan nyawa manusia dan orang awam", katanya.
Ketua ICRC, Mirjana Spoljaric turut menggesa agar Israel dan Hamas menghormati undang-undang antarabangsa serta menyeru kedua-dua pihak untuk terus melindungi orang awam walau dimana jua mereka berada.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan kendalian Hamas berkata 25 orang maut dan 50 orang cedera dalam kejadian serangan yang didakwa angkara Israel.
Kementerian itu berkata serangan Israel menyasarkan khemah pelarian di kawasan Al-Mawasi yang berada di sekitar pangkalan ICRC.-AFP