fb fb fb fb fb

Israel gempur Rafah, 45 penduduk Palestin terkorban

Kepulan asap di Rafah akibat serangan Israel/ AFP

KAHERAH, 22 Jun- Tentera Israel bertindak menggempur Rafah, di selatan Gaza serta kawasan lain berhampiran dan menyebabkan sekurang-kurangnya 45 rakyat Palestin terkorban.

Penduduk berkata, Israel dilihat cuba menyelesaikan penaklukannya di Rafah, yang bersempadan dengan Mesir dan menjadi tumpuan serangan sejak awal Mei.

Kereta kebal masuk ke bahagian barat dan utara bandar itu, setelah menawan timur, selatan dan tengah.

Tembakan dari pesawat, kereta kebal dan kapal di luar pantai menyebabkan lebih ramai orang melarikan diri dari bandar itu, yang beberapa bulan lalu melindungi lebih daripada sejuta orang yang berpindah, yang kebanyakannya kini telah berpindah semula.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan 25 rakyat Palestin terkorban di Mawasi di barat Rafah serta 50 cedera.

Penduduk turut mendakwa peluru kereta kebal Israel terkena sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian. Serangan itu memaksa lebih sejuta rakyat Palestin yang mendapatkan perlindungan berpindah semula.

Sepanjang minggu lalu, tentera Israel telah menyasarkan sebuah universiti yang didakwa berfungsi sebagai ibu pejabat pejuang Hamas.

Sementara itu, Datuk Bandar Rafah Ahmed Al-Sofi, berkata seluruh bandar Rafah menjadi kawasan operasi ketenteraan Israel.

Beliau berkata tiada kemudahan perubatan berfungsi di bandar itu dan penduduk serta keluarga yang kehilangan tempat tinggal tidak mempunyai keperluan minimum makanan dan air.

"Bandar itu mengalami malapetaka kemanusiaan dan orang ramai terkorban di dalam khemah mereka kerana pengeboman Israel", katanya menerusi kenyataan yang disiarkan Hamas.

Serangan tentera zionis itu telah menyebabkan Gaza musnah dan lebih 37,400 orang terkorban serta hampir keseluruhan penduduk kehilangan tempat tinggal.-REUTERS

ROSLINA BINTI DIN