GAZA, 12 Disember- Sekurang-kurangnya 21 orang terkorban termasuk kanak-kanak dalam serangan terbaharu Israel, beberapa jam selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menggesa gencatan senjata segera di wilayah Palestin.
Jurucakap Agensi Pertahanan Awam Gaza Mahmud Basal berkata, pesawat Tentera Israel menyasarkan dua buah rumah berhampiran kem perlindungan Nuseirat dan Gaza City.
“Lima belas terbunuh, termasuk sekurang-kurangnya enam kanak-kanak dan lebih 17 cedera akibat pengeboman Israel ke atas sebuah bangunan yang melindungi orang yang kehilangan tempat tinggal berhampiran Nuseirat", kata Basal kepada AFP.
Tambahnya, enam orang yang terbunuh dalam serangan di sebuah apartmen di Gaza City telah dibawa ke hospital bersama dengan beberapa orang yang mengalami kecederaan.
Serangan Israel di Gaza telah membunuh puluhan ribu orang dan memusnahkan Gaza.
Sementara itu, usaha diplomatik terbaru untuk menamatkan konflik, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi menggesa gencatan senjata segera dan tanpa syarat. Bagaimanapun, resolusi itu ditolak oleh Amerika Syarikat, penyokong utama tentera Israel.
Menurut data Kementerian Kesihatan, sekurang-kurangnya 44,805 orang terkorban dalam serangan Israel di Gaza, majoritinya adalah orang awam.-AFP