KATHMANDU, 21 Julai- Kira-kira 20 orang hilang di Bhutan berikutan banjir kilat yang tercetus akibat hujan lebat, menghanyutkan sebahagian daripada loji hidroelektrik kecil pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa, pasukan mencari dan menyelamat digegaskan ke lokasi berkenaan untuk operasi lanjut dan Perdana Menteri Bhutan, Lotay Tshering turut turun padang melawat ke tapak itu.
"Sebahagian daripada Projek Tenaga Hidro Yungichhu 32 MW di kawasan terpencil di timur negara itu dihanyutkan tetapi bahagian utamanya tidak terkena," kata akhbar Bhutan itu dalam catatan Twitter tanpa mengulas lanjut.
"Ia adalah bencana besar. Yang hilang termasuk kakitangan projek," memetik seorang pegawai yang tidak dinamakan dari Druk Green Power, yang bertanggungjawab ke atas pembinaan loji itu.
Tragedi besar seperti itu agak jarang berlaku di Bhutan, negara yang terletak di antara China dan India dan mempunyai populasi hanya 750,000.
Namun pada 2021, sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh apabila banjir kilat menghanyutkan kem pergunungan terpencil.
Tahun ini, negara jiran Nepal telah menyaksikan sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dan 25 lagi hilang dalam banjir kilat dan tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan monsun tahunan yang bermula pada bulan Jun.- REUTERS
(Perdana Menteri Bhutan, Lotay Tshering/REUTERS)