fb fb fb fb fb

Insiden lelaki mengamuk di Seoul, seorang maut dan tiga cedera

Foto Hiasan

SEOUL, 21 Julai- Seorang maut dan tiga lagi cedera apabila seorang lelaki mengamuk berhampiran stesen kereta api bawah tanah di ibu negara Korea Selatan, Seoul pada Jumaat.

Menurut polis, serangan itu berlaku berhampiran Stesen Kereta Api Bawah Tanah Sillim di barat daya Seoul dan suspek telah ditahan polis di tempat kejadian.

"Suspek adalah seorang lelaki dalam lingkungan 30-an dan dia tidak kelihatan mabuk. Kami sedang soal siasat mengenai motif jenayahnya," kata mereka.

Agensi Berita Yonhap melaporkan bahawa serangan berlaku berhampiran Pintu Keluar 4 stesen kereta api bawah tanah pada 2.07 petang waktu tempatan.

Video yang disiarkan di saluran YouTube stesen televisyen tempatan YTN menunjukkan pasukan kecemasan berpakaian jingga berlari ke arah lokasi kejadian membawa pengusung.

Menerusi rakaman itu, kawasan tersebut telah diletakkan pita kuning bagi menghalang orang awam untuk ke lokasi tersebut.

“Lelaki itu menjerit tidak mahu hidup lagi kerana sedang ditahan polis,” lapor YTN.

Korea Selatan merupakan negara yang sangat selamat, dengan kadar pembunuhan hanya 1.3 bagi setiap 100,000 orang pada 2021, berdasarkan statistik rasmi.- AFP


(FOTO REUTERS)

Media Baharu