fb fb fb fb fb

20 maut banjir kilat di Afghanistan

KABUL, 22 Ogos– Sekurang-kurangnya 20 orang terkorban dalam banjir kilat di wilayah Logar, timur Afghanistan dalam tempoh 48 jam lalu.

Pegawai pengurusan bencana memaklumkan hujan lebat telah memusnahkan beribu-ribu kediaman dan merosakkan kawasan pertanian.

Selain banjir, negara tersebut turut dilanda bencana alam lain termasuk kemarau dan gempa bumi kuat yang telah meragut lebih 1000 nyawa pada Jun lalu.

“Seramai 20 orang maut, 35 cedera akibat banjir di wilayah Logar,” kata Mohammad Nassim Haqqani, jurucakap pihak berkuasa pengurusan bencana Afghanistan.


(Seorang lelaki Afghanistan membersihkan rumahnya yang rosak selepas
banjir besar di daerah Khushi di Logar, Afghanistan/REUTERS)

Bagaimanapun, laporan tidak rasmi menjangkakan jumlah itu lebih tinggi.

Taliban, yang mengambil alih negara Ogos lalu, telah bergelut menghadapi bencana dan telah memohon bantuan.

“Kami meminta masyarakat antarabangsa, terutama negara Islam dan organisasi kemanusiaan, untuk segera membantu mangsa,” kata jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid dalam mesej video yang disiarkan di media sosial.

Agensi kemanusiaan global telah memberikan bantuan selama berbulan-bulan. Mereka memerlukan lebih banyak akses dan pembiayaan bagi mengelakkan bencana kemanusiaan, termasuk kehilangan tempat tinggal, tiada tempat perlindungan dan masalah bekalan air bersih.-REUTERS

Media Baharu