fb fb fb fb fb

2 juta tan pelepasan CO2 akibat pemusnahan bangunan di Gaza oleh Israel

FOTO AFP

AMMAN, 5 Julai- Serangan berterusan Israel ke atas Gaza telah mengakibatkan kemusnahan alam sekitar yang ketara, termasuk dua juta tan pelepasan karbon dioksida (CO2), menurut laporan oleh Pihak Berkuasa Kualiti Alam Sekitar Palestin.

Pengarah Pemeriksaan dan Kawalan di pihak berkuasa itu, Bahjat Jabarin membentangkan laporan mengenai kesan alam sekitar yang teruk akibat pemusnahan bangunan dan penggunaan senjata, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Laporan yang dibincangkan semasa sesi dialog anjuran Persatuan Tenaga, Air dan Alam Sekitar di Jordan itu mendedahkan bahawa pelepasan CO2 akibat pemusnahan melebihi 2 juta tan, bersama-sama kira-kira 60 juta tan metrik karbon dioksida setara.

Jumlah yang mengejutkan itu menekankan kesan ekologi konflik sejak ia bermula sehingga April lalu.

Jabarin menekankan bahawa lebih 60 peratus unit pengeluaran tenaga di rumah, sekolah, hospital dan kemudahan perindustrian berjumlah 12,400 unit—telah musnah sepenuhnya.

Selain itu, sembilan loji rawatan air yang memproses 120,000 meter padu air mengalami kemusnahan sama ada sebahagian atau keseluruhan.

Serangan Israel juga telah menjejaskan kepelbagaian biologi, memusnahkan atau mengancam spesies di Gaza.

Wilayah itu menjadi habitat kepada 150-200 spesies burung, kira-kira 20 spesies mamalia dan 20 spesies reptilia yang jarang ditemui dan terancam.

Menurut laporan itu, pengumpulan lebih 270,000 tan sisa pepejal isi rumah dan industri di lorong, jalan, kem pelarian, pantai, laut dan stesen pemindahan kekal tidak dikutip, tidak dirawat atau dipindahkan akibat kemusnahan stesen pemindahan manakala tapak pelupusan sisa sanitari tidak lagi beroperasi.

Jabarin seterusnya menyatakan bahawa kawasan pantai menyaksikan pengumpulan sampah isi rumah di pantai, di samping pencemaran laut dengan puluhan ribu tan air sisa dan senjata.

Beliau menegaskan bahawa pencemaran air bawah tanah telah meningkat lebih daripada 97 peratus, dengan kira-kira 40 telaga air musnah sepenuhnya dan 5,000 meter linear saluran dan longkang telah digali.

Mengulas mengenai krisis air, Pengerusi Lembaga Persatuan Tenaga, Air dan Alam Sekitar Dureid Mahasneh menekankan bahawa semua sumber air telah tercemar akibat konflik, dan memerlukan masa bertahun-tahun untuk menyelesaikan cabaran alam sekitar itu.- BERNAMA-WAFA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE