BEIRUT, 13 April – Sebanyak 190 daripada 265 lokasi ketenteraan milik kumpulan Hezbollah di selatan Lubnan kini diserahkan kepada kawalan tentera Lubnan susulan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada 27 November tahun lalu.
Sumber terdekat dengan kumpulan itu memaklumkan, penyerahan tersebut dibuat sebagai sebahagian daripada syarat perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Israel.
Perjanjian itu menetapkan hanya pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan tentera Lubnan dibenarkan berada di kawasan selatan negara itu.
Manakala pejuang Hezbullah diarahkan berpindah ke utara Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
Bagaimanapun, Israel masih mengekalkan kehadiran tenteranya di lima lokasi strategik meskipun sepatutnya berundur sepenuhnya dari Lubnan pada 18 Februari lalu.
Dalam ucapan memperingati ulang tahun perang saudara Lubnan 1975-1990, Presiden Lubnan, Joseph Aoun sekali lagi menggesa Hizbullah untuk melucutkan senjata demi kepentingan negara.
Sementara itu, Timbalan Utusan Khas Amerika Syarikat untuk Timur Tengah, Morgan Ortagus ketika lawatannya ke Beirut minggu lalu turut membincangkan soal perlucutan senjata Hizbullah bersama pemimpin Lubnan.
Konflik antara Hizbullah dan Israel tercetus semula pada September lalu susulan serangan Israel terhadap Hamas pada Oktober 2023.
Serangan itu menyebabkan lebih 4,000 orang terbunuh di Lubnan. - AFP