fb fb fb fb fb

18 mayat PATI dalam trak ditemui pihak berkuasa Bulgaria

(FOTO REUTERS)

LOKORSKO, 18 Februari- Pihak berkuasa Bulgaria menemui 18 mayat pendatang asing tanpa izin (PATI), dipercayai mati akibat sesak nafas dalam trak yang cuba menyeludup mereka melalui negara itu.

Tragedi berlaku ketika negara Balkan itu bergelut dengan peningkatan jumlah PATI yang cuba melintas sempadan secara haram.

Menurut pegawai tempatan, trak itu membawa 52 PATI yang bersembunyi di bawah muatan kayu.

Penduduk tempatan memaklumkan polis mengenai penemuan trak yang ditinggalkan itu berhampiran perkampungan Lokorsko, 20 kilometer (km) ke timur laut ibu negara, Sofia.

Timbalan Pendakwa Raya, Borislav Sarafov, memberitahu AFP bahawa penyiasat menemui mayat bergelimpangan di atas rumput di sekeliling kenderaan itu.


"Menurut laporan awal, mereka meninggal dunia akibat asfiksia atau sesak nafas kerana terlalu ramai orang bersesak di tempat yang terlalu kecil.

"Dari segi jumlah mangsa, ini adalah kes paling ramai yang maut membabitkan pendatang asing di Bulgaria," katanya.

Tambah Sarafov, mangsa meninggal dunia 10 hingga 12 jam sebelum mayat mereka ditemui, dan penyeludup melarikan diri sebaik menyedari kematian itu.

Empat warga Bulgaria ditahan sebagai suspek dalam kes itu manakala seramai 34 orang yang ditemui masih hidup dibawa ke hospital.

"Mereka kesejukan dan basah kuyup, serta sudah pasti tidak makan selama beberapa hari," kata Menteri Kesihatan, Asen Medjidiev, kepada wartawan sebelum ini.


(Seramai 34 PATI, termasuk lima kanak-kanak, dibawa ke hospital di Sofia, dengan beberapa
dalam keadaan kritikal, tetapi stabil/ AFP)

Kementerian kesihatan berkata mangsa yang maut termasuk kanak-kanak berusia enam atau tujuh tahun, tetapi Sarafov berkata mangsa paling muda adalah seorang remaja.

Berdasarkan maklumat awal, mereka yang menaiki trak itu berasal dari Afghanistan.

Kumpulan yang bergerak dari Turkiye itu dipercayai memasuki Bulgaria beberapa hari lalu, melintasi pagar sempadan di wilayah tenggara Yambol.

Bulgaria adalah anggota Kesatuan Eropah (EU) yang menjadi pintu masuk ke blok itu, walaupun sudah cuba mengetatkan keselamatan untuk menghentikan peningkatan jumlah PATI yang ingin menyeberangi sempadan.

Negara itu meningkatkan kawalan dengan pagar kawat berduri sepanjang 234km yang meliputi hampir seluruh sempadan dengan Turkiye.

Polis sempadan menggagalkan 164,000 percubaan lintasan haram pada 2022, berbanding 55,000 pada 2021, menurut data kementerian dalam negeri.

Austria dan Belanda pada Disember lalu menyekat tawaran Sofia untuk menyertai zon bebas sempadan Schengen.

Bulgaria semakin kerap berdepan tuduhan bahawa negara itu mendera pendatang yang cuba menyeberang dari Turkiye, dengan pencari suaka berkata mereka dikasari, dikurung, dibogelkan dan dipukul, namun berulang kali dinafikan pihak berkuasa Bulgaria.

Tiga pegawai polis maut apabila kenderaan penyeludup merempuh kereta mereka tahun lalu.

Sofia meminta EU memperuntukkan 2 bilion euro (RM9.5 bilion) untuk memperkukuhkan kawalan pagar sempadan dan meningkatkan pengawasan, tetapi Brussels setakat ini menolak.

Pada Ogos 2015, ketika kemuncak krisis penghijrahan Eropah, 71 mayat PATI termasuk seorang bayi perempuan, ditemui berlonggok di belakang lori peti sejuk ayam yang ditinggalkan di Austria.

Mahkamah Hungary memenjarakan seorang warga Afghanistan dan tiga warga Bulgaria seumur hidup berhubung kes itu.

Pada 2019, 39 pendatang Vietnam ditemui mati dalam trak peti sejuk di Britain sejurus selepas ia menyeberangi Selat Inggeris dari tanah besar Eropah.

Beberapa kejadian sama tetapi tidak banyak membabitkan kematian direkodkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk di Croatia, Ireland, Itali dan Belanda. – AFP

Media Baharu