fb fb fb fb fb

18 maut, bas bawa pendatang terbalik di Mexico

(FOTO REUTERS)

MEXICO CITY, 7 Oktober- Sebuah bas di Mexico yang membawa imigran terbalik menyebabkan sekurang-kurangnya 18 penumpang maut dan 27 cedera.

Ia merupakan kemalangan jalan raya yang paling dahsyat terbaharu membabitkan pendatang ke AS.

Mangsa yang maut, tiga daripadanya bawah umur, berasal dari Venezuela dan Haiti, menurut kenyataan pejabat pendakwa raya di negeri Oaxaca.

Kemalangan itu berlaku sekitar subuh di lebuh raya yang menghubungkan Oaxaca dan negeri jiran Puebla.

Mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan.

Imej yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri menunjukkan serpihan bas itu terletak di sisi di lebuh raya yang berliku melalui bukit.

Menurut agensi imigresen kebangsaan Mexico, 55 warga asing berada di dalam bas itu.

Rakyat Peru juga antara mangsa, katanya.

Beribu-ribu pendatang dari pelbagai negara telah mengembara ke seluruh Mexico dengan menaiki bas, treler yang sesak dan menaiki kereta api barang dalam usaha untuk sampai ke sempadan AS-Mexico.

Mereka berdepan risiko kemalangan maut, penculikan oleh kumpulan penjenayah dan pemerasan oleh pegawai yang meminta rasuah.

Lebih 8,200 pendatang telah meninggal dunia atau hilang di benua Amerika sejak 2014, kebanyakannya ketika cuba sampai ke Amerika Syarikat melalui Mexico, menurut Pertubuhan Migrasi Antarabangsa.

Sempadan AS-Mexico ialah "laluan darat penghijrahan paling membawa maut di dunia," dengan 686 kematian dan kehilangan pada 2022, kata IOM bulan lalu.

Pada hari Ahad, sekurang-kurangnya 10 pendatang Cuba terbunuh dan 25 cedera apabila sebuah trak kargo yang membawa mereka terbalik di negeri selatan Chiapas.

Manakala pada awal Ogos, sekurang-kurangnya 18 orang maut dan 23 cedera selepas bas yang membawa penumpang tempatan dan pendatang dari negara seperti India, Republik Dominican dan beberapa negara Afrika terjunam ke dalam gaung di negeri Nayarit.

Semenrtara pada Disember 2021, 56 orang kebanyakannya pendatang Amerika Tengah terbunuh dan berpuluh-puluh cedera apabila trak penyeludup rakyat yang membawa kira-kira 160 orang terbalik di Chiapas.

Kerajaan Mexico mengakui jumlah pendatang yang melintasi wilayahnya, yang sebahagian besarnya berasal dari Amerika Tengah, Venezuela, Cuba dan Haiti.

Pihak berkuasa Mexico berkata mereka menahan lebih 189,000 pendatang bulan lalu, manakala peronda sempadan AS telah melaporkan 1.8 juta penahanan antara Oktober 2022 dan Ogos 2023.

Pegawai kanan AS dan Mexico berikrar pada Khamis untuk menggandakan usaha menangani penghijrahan haram tersebut melalui beberapa langkah seperti memodenkan keselamatan sempadan, meningkatkan saluran undang-undang dan menangani punca utama.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu