(Pelancong berjalan berhampiran istana Sforzesco di Milan,
di tengah-tengah gelombang panas yang melanda Eropah/AFP)
COPENHAGEN, 23 Julai- Lebih 1,700 kes kematian dilaporkan di Semenanjung Iberia, akibat gelombang haba.
Angka berkenaan adalah anggaran awal berdasarkan laporan pihak berkuasa. Ia dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Eropah, Hans Kluge menyeru semua pihak mengambil tindakan bersama menangani perubahan iklim.
Fenomena itu membawa risiko termasuk kematian kepada bayi, kanak-kanak dan warga emas.
(Anggota bomba berkawal di perkampungan Temnica di Slovenia/AFP)
"Gelombang haba membunuh. Sepanjang dekad yang lalu, ratusan ribu orang telah mati akibat haba melampau dan gelombang haba yang berpanjangan, selalunya turut berlaku kebakaran hutan serentak," kata Pengarah Pertubuhan WHO untuk Eropah Hans Kluge dalam satu kenyataan.
"Tahun ini, kita menyaksikan lebih 1,700 kematian akibat gelombang haba di Sepanyol dan Portugal.
"Insiden ini menunjukkan sekali lagi keperluan mendesak tindakan menangani perubahan iklim secara berkesan", katanya.
Ketua Badan Kesihatan PBB serantau berkata kerajaan perlu menunjukkan usaha dalam melaksanakan Perjanjian Paris, yang menetapkan matlamat untuk menghadkan tahap kepanasan kepada dua darjah celsius, melebihi paras praindustri serta tidak melebihi 1.5 celcius.
Beliau berkata, anggota WHO di wilayah Eropah merangkumi 53 negara termasuk di Asia Tengah telah menunjukkan kerjasama dalam menangani segera ancaman terhadap kesihatan global dan sudah tiba masanya untuk sekali lagi berbuat demikian.- AFP