fb fb fb fb fb

17 pelarian Rohingya mati lemas

(Sebuah bot kayu yang membawa sekurang-kurangnya 69 pelarian
Rohingya mendarat di pantai barat Indonesia. Ia merupakan bot Rohingya
keenam mendarat di Indonesia sejak November tahun lalu/Foto fail AFP)

YANGON, 10 Ogos- Sekurang-kurangnya 17 orang mati lemas selepas bot membawa pelarian Rohingya dari Rakhine, Myanmar rosak di laut.

Seorang anggota penyelamat dari Yayasan Shwe Yaung Metta di bandar Sittwe, Byar La berkata, lebih 50 orang dipercayai berada dalam bot yang menuju ke Malaysia, ketika ia mengalami masalah pada malam Ahad.

"Kami menemukan 17 mayat, setakat semalam.

"Lapan orang lelaki selamat dan polis telah membawa mereka untuk disoal siasat," katanya kepada AFP, pada Khamis.

Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mereka yang hilang, meski jumlah sebenar di atas kapal tidak diketahui.

(Bot terkandas membawa hampir 200 pelarian Rohingya yang kelaparan dan dehidrasi
dalam perjalanan maut ke pantai wilayah Aceh, Indonesia pada Disember 2022/Foto fail AFP)

Beribu-ribu pelarian Rohingya mempertaruhkan nyawa mereka setiap tahun melakukan perjalanan laut berbahaya dari kem di Bangladesh dan Myanmar untuk cuba sampai ke Malaysia dan Indonesia.

Dalam pada itu, berdasarkan data agensi pelarian Pertubuhan Bangsa Bersatu pada Januari, lebih 3,500 etnik Rohingya, melibatkan 39 kapal cuba menyeberangi Laut Andaman dan Teluk Bengal pada 2022, meningkat daripada 700 pada tahun sebelumnya.

Manakala, lebih 348 etnik Rohingya hilang atau meninggal dunia di laut tahun lepas, semasa melakukan perjalanan berbahaya menuju ke Malaysia dan Indonesia, kata agensi itu.-AFP

Media Baharu