fb fb fb fb fb

17 meninggal dunia akibat penyakit misteri

Gambar hiasan

SRINAGAR, India, 25 Januari – Sekurang-kurangnya 17 orang, termasuk 13 kanak-kanak, meninggal dunia akibat penyakit misteri yang melanda kampung terpencil Badhaal di kawasan Rajouri, Jammu, sejak awal Disember lalu.

Memetik laporan berita Press Trust of India, (PTI), kampung itu telah diisytiharkan sebagai zon kawalan minggu ini, dengan kira-kira 230 penduduk dikuarantin.

Semua mangsa dilaporkan mengalami kerosakan pada otak dan sistem saraf, menurut ketua kolej perubatan kerajaan, Rajouri Amarjeet Singh Bhatia.

"Percutian musim sejuk juga telah dibatalkan bagi menangani situasi amaran kesihatan yang melanda ketika ini," katanya.

Kesemua mangsa terdiri daripada tiga ahli keluarga yang berkaitan.

Kerajaan persekutuan telah melancarkan siasatan dan Menteri Kesihatan Jitendra Singh berkata siasatan awal menunjukkan bahawa kematian tersebut bukan disebabkan oleh jangkitan, virus, atau bakteria, tetapi toksin.

“Terdapat senarai toksin yang sedang diuji, dan saya yakin penyelesaian akan ditemui tidak lama lagi. Jika terdapat sebarang unsur sabotaj atau aktiviti berniat jahat, perkara itu juga sedang disiasat,” tambah Singh.

Dalam insiden berasingan, pihak berkuasa di bandar barat Pune melaporkan 73 kes Sindrom Guillain-Barre (GBS), gangguan saraf yang jarang berlaku.

Daripada jumlah itu, 26 pesakit adalah wanita dan 14 pesakit kini memerlukan sokongan ventilator, lapor PTI.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), GBS adalah keadaan yang mana sistem imun menyerang saraf periferi, yang boleh menyebabkan kelemahan otot, kehilangan deria pada kaki atau tangan, serta masalah pernafasan selain sukar untuk menelan. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN