KAHERAH, 25 Januari - Seramai 70 banduan Palestin tiba di Mesir hari ini selepas dibebaskan dari Israel menurut laporan media kerajaan Mesir.
Memetik laporan Al-Qahera News, tahanan-tahanan tersebut adalah individu yang "dibuang negeri" oleh Israel dan akan dipindahkan ke hospital di Mesir untuk menerima rawatan.
Sebelum ini Israel mendedahkan lebih 230 tahanan Palestin yang dibebaskan di bawah perjanjian itu merupakan banduan yang menerima hukuman penjara seumur hidup.
Israel mendakwa tahanan itu telah melakukan serangan maut terhadap rakyat Israel, dan mereka akan diusir secara kekal dari wilayah Palestin selepas pembebasan tersebut.
Rakaman yang disiarkan pada Sabtu menunjukkan sebahagian tahanan, berpakaian trek kelabu, turun dari dua buah bas di sisi sempadan Rafah di Mesir yang bersempadan dengan Gaza.
Selepas transit di Mesir, tahanan yang diusir itu akan memilih negara lain seperti Algeria, Turkiye, atau Tunisia.
“Ia adalah perasaan yang tidak dapat digambarkan,” kata salah seorang tahanan yang dibebaskan kepada Al-Qahera News sambil tersenyum dan melambai dari tingkap bas.
Terdahulu, Israel telah membebaskan 200 tahanan Palestin sebagai pertukaran dengan empat tebusan Israel yang dibebaskan oleh Hamas di Gaza. - AFP