fb fb fb fb fb

16 orang maut dalam kemalangan bas di Indonesia

FOTO AFP

JAKARTA, 22 Disember - Sekurang-kurangnya 16 orang maut apabila sebuah bas ekspres terbalik selepas merempuh penghadang lebuh raya di Indonesia pada Isnin.

Dalam kenyataan, Ketua Agensi Carian dan Penyelamat tempatan, Budiono, berkata pihaknya telah memindahkan 34 mangsa dari lokasi kejadian.

“Bas tersebut dalam perjalanan dari ibu negara Jakarta ke Yogyakarta dan dipercayai bergerak pada kelajuan agak tinggi ketika melalui selekoh sebuah persimpangan lebuh raya,” kata Budiono.

Beliau menambah, 15 orang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia di hospital.

Beberapa mangsa lain dihantar ke bandar Semarang untuk rawatan lanjut.

Kemalangan pengangkutan kerap berlaku di Indonesia, susulan penggunaan kenderaan uzur, penyelenggaraan terhad, serta pengabaian peraturan jalan raya secara meluas.

Pada 2024, sekurang-kurangnya 12 orang maut dalam kemalangan membabitkan kereta dan bas di lebuh raya sesak semasa musim Aidilfitri.

Sementara itu, pada 2019, sekurang-kurangnya 35 orang maut apabila sebuah bas terjunam ke dalam gaung di pulau Sumatera, bahagian barat negara itu. – AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM