BAMAKO, 20 Februari- Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 46 cedera apabila sebuah bas bertembung dengan sebuah trak di tengah Mali pada Isnin.
Kementrian Pengangkutan Mali, menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian membabitkan sebuah bas yang dalam perjalanan dari pusat bandar Mopti ke ibu negara Bamako berlanggar dengan trak 10 tan yang bergerak dari arah bertentangan.
"Buat masa ini, 15 maut dan 46 cedera, sebahagian daripada mereka parah," jelas kenyataan tersebut.
Petugas pertahanan awam membawa mangsa ke Hospital Somino Dolo di Mopti.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Mali dan biasanya disebabkan oleh keadaan jalan raya dan kenderaan yang tidak diselenggara, serta kecuaian manusia.-AFP