SEMENANJUNG GAZA, 17 Ogos- Agensi pertahanan awam Gaza memaklumkan sekurang-kurangnya 15 orang dalam sebuah keluarga terbunuh termasuk sembilan kanak-kanak dan tiga wanita dalam serangan udara Israel pada awal pagi tadi,
Menurut jurucakap pertahanan awam, Mahmud Bassal, serangan itu dilaporkan melanda rumah keluarga Ajlah di kejiranan Al-Zawaida di tengah Gaza.
"Jumlah korban serangan Israel ke atas rumah keluarga Ajlah dan gudang mereka di Al-Zawaida adalah 15 orang mati, kata Bassal.
Bagaimanapun tentera Israel enggan mengulas lanjut.
Seorang saksi berkata, serangan itu berlaku sejurus selepas tengah malam.
"Tiga roket mengenai rumah secara langsung. Terdapat ramai kanak-kanak dan wanita di dalam... Apa yang telah mereka lakukan hingga layak menerima ini?," kata Ahmed Abu al-Ghoul kepada AFP ketika penyelamat mengeluarkan mayat dari runtuhan rumah yang rata.
Rakaman AFPTV mengenai kejadian itu, yang dirakam selepas subuh, menunjukkan penyelamat mencari mayat di bawah timbunan blok konkrit yang runtuh.
Lebih 10 bulan peperangan antara Israel dan Hamas telah menyebabkan kawasan Gaza yang luas menjadi runtuhan.
Perang tercetus selepas Hamas menyerang Israel pada 7 Oktober dan sehingga kini sekurang-kurangnya 40,005 orang di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah kendalian Hamas, yang tidak memberikan butiran kematian orang awam dan pejuang. - AFP