fb fb fb fb fb

15,000 Orang ditahan di Sri Lanka berkaitan kes dadah

Foto hiasan

COLOMBO, 24 Disember- Polis Sri Lanka mengumumkan penahanan hampir 15,000 orang semasa kempen anti-narkotik yang disokong tentera selama seminggu.

Menurut pihak berkuasa sebanyak 440 kilogram (kg) dadah dirampas termasuk 272 kg ganja, 35 kg ganja dan sembilan kg heroin menerusi operasi 'Yuktiya' atau 'Keadilan'.

Pihak berkuasa percaya pulau Lautan Hindi itu digunakan sebagai tempat transit pengedaran dadah.

Polis menerusi kenyataan memaklumkan seramai 13,666 suspek telah ditangkap, manakala hampir 1,100 penagih telah ditahan dan dihantar untuk pemulihan di kemudahan yang dikendalikan oleh tentera.

Serbuan anti-narkotik akan dihentikan sementara sempena cuti perayaan Krismas dan pegawai perlu ditempatkan dalam tugas berkaitan keselamatan. Bagaimanapun, operasi akan disambung semula selepas hari Selasa.

Sementara itu, media tempatan menunjukkan rakaman polis dan tentera menggunakan anjing penghidu untuk menggeledah rumah di kawasan terlibat.

Peguam hak asasi manusia Hejaaz Hizbullah berkata serbuan polis adalah menyalahi undang-undang kerana ia dijalankan tanpa waran geledah dan menggesa mangsa mendapatkan butiran pegawai untuk memulakan tindakan undang-undang.

Aktivis hak asasi manusia Ambika Satkunanathan menyiarkan di media sosial bahawa pencarian itu bukan berdasarkan bukti , tetapi hanya menyasarkan kawasan miskin.

"Polis didakawa menahan penagih dadah dan pengedar kecil-kecilan dan tidak memberi tumpuan kepada pengedar besar-besaran", tambahnya.

Rampasan dadah terbesar di Sri Lanka adalah pada 2016 iaitu melebihi 800 kilogram kokain.-AFP

ROSLINA BINTI DIN