fb fb fb fb fb

147 maut dalam insiden letupan lori tangki

Foto AFP

JIGAWA, 17 Oktober - Sekurang-kurangnya 147 orang terbunuh dan lebih 140 yang lain cedera, apabila sebuah lori tangki bahan api meletup di barat laut Nigeria, pada Rabu.

Jurucakap polis Lawan Adamu berkata, letupan berlaku di sepanjang lebuh raya Kano-Hadejia di kawasan pentadbiran tempatan Taura di negeri Jigawa.

Letupan itu mencetuskan kebakaran besar yang marak sehingga 3.15 pagi (0215GMT) pada Rabu.

Menurut pihak berkuasa, lori tangki tersebut terbabas ketika cuba mengelak kenderaan lain dan terbalik.

Selepas kemalangan itu, orang ramai berpusu-pusu ke sekitar lori tangki yang terbalik untuk menadah tumpahan bahan api daripada tangki yang bocor.

Sementara itu, Pengerusi kerajaan tempatan, Hambali Zarga memberitahu, angka kematian hanya merangkumi mayat yang dikebumikan dalam satu kubur besar dan memberi amaran jumlah kematian mungkin meningkat.

Beliau turut memaklumkan bahawa lebih banyak mayat dikebumikan di tempat lain, manakala sekitar 140 penduduk yang cedera sedang dirawat di hospital berhampiran.

Di ibu negara Abuja, penggubal undang-undang Nigeria bertafakur seminit di Dewan Senat.

Presiden Bola Ahmed Tinubu berikrar untuk menyokong mereka yang terjejas dan menyatakan beliau 'komited terhadap semakan segera dan menyeluruh protokol keselamatan pengangkutan bahan api di seluruh negara'.

Kemalangan melibatkan lori tangki kerap berlaku di negara ini, dengan Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan (FRSC) mencatatkan 1,531 kemalangan pada 2020, yang menyebabkan 535 kematian.

Bulan lalu, sekurang-kurangnya 59 orang terkorban apabila sebuah lori tangki bertembung dengan trak yang membawa penumpang dan lembu di negeri Niger, barat laut negara itu. - AFP

Trainee